TRANS TITIWANGSA; KORBU, GAYONG DAN YONG BELAR
George Mallory dan Andrew Irvine adalah dua nama tersohor dalam lipatan sejarah. Mereka hilang di paras 27,950 kaki (8,525 meter) ketika cuba menjejaki laluan ke puncak Everest pada 1924. Ketika hayatnya, apabila ditanya kenapa perlu menawan puncak Everest, G. Mallory menjawab, “Kerana ia ada di situ” (Because it was there).
Mungkin ramai yang memberi alasan serupa jika ditanya tentang kegilaan mendaki mereka. Saya sendiri sendiri tidak terkecuali, kerana ia (gunung itu) ada di situ. Sebab itulah kami terus mendaki dan mencari puncak-puncak baru untuk diterokai. Tiada erti serik dalam kamus kehidupan seorang pendaki.

Hari Pertama: Kami yang seramai 14 pendaki, tiba di tapak pembinaan projek bekalan air untuk Greater Ipoh Fasa 2, seawal pukul 2.15 pagi. Kami dibawa ke situ dengan van, setelah berkeretapi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Ipoh. Perjalanan dengan keretapi mengambil masa kira-kira 4 jam.
Tepat pukul 8.15 pagi, Encik Sahlan yang berperanan sebagai jurupandu jalan, telah memberikan taklimat ringkas. Kami kemudiannya bertolak dari Kampung Chadak, mengikuti jalan tanah merah. Kami berhenti untuk berehat selepas sejam berjalan. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan dan menempuh Check Point 1.
Kami menuruni cerun curam yang gondol. Kerja-kerja pembinaan tembok konkrit empangan bagi projek bekalan air bersih rancak berjalan. Seterusnya kami berjalan melalui jalan tanah merah yang landai. Di pertengahan jalan kami bertemu dengan penduduk Orang Asli tempatan yang menaiki motorsikal yang menyapa kami.

Kami kemudiannya menyusuri denai hutan. Tepat pukul 11.30 pagi, kami tiba di sebuah kampong Orang Asli yang telah ditinggalkan. Kami berhenti berehat di salah sebuah rumah yang dibina dari bahan-bahan hutan seperti kayu, buluh dan daun bertam. Di kampong itu terdapat tidak sampai 5 buah rumah.
Perjalanan kami seterusnya adalah melalui rumpun buluh dan dusun durian. Tepat pukul 12.00 tengahari kami berhenti di bawah pokok durian berhampiran anak sungai untuk berehat dan makan tengahari. Kami menyambung perjalanan sejam kemudian ketika hujan renyai mula turun.

Trek yang kami lalui agak curam tetapi kemudiannya beransur-ansur landai. Kami kemudiannya menyusuri tebing sungai. Kadang kala balak tumbang menghalang trek yang kami tempuhi. Kami juga menyeberangi anak-anak sungai sebelum berhenti berehat pada pukul 2.30 petang.
Kami kemudiannya menyambung perjalanan. Anak-anak sungai diseberangi, balak tumbang dan rumpun buluh ditempuhi. Laluan jadi licin oleh hujan yang turun. Badan kami basah kuyup dan kesejukan ditimpa hujan. Pukul 3.40 petang, kami mengambil keputusan untuk berhenti berehat.

Perjalanan kemudiannya diteruskan. Keadaan cerun yang kami tempuhi berselisih ganti keadaannya. Ada ketikanya mencanak, ada ketikanya menurun, dan, ada ketikanya agak landai. Kami juga beberapa kali menyeberangi anak sungai, berhati-hati memijak batu-batu licin. Takut-takut jatuh tergelincir dan tercedera.
Tepat pukul 5.15 petang, kami tiba di destinasi hari pertama, iaitu Kem Seroja. Tapak perkhemahan di situ agak landai dan luas. Saya anggarkan ianya boleh memuatkan kira-kira 30 pendaki pada satu-satu masa. Jeram yang alirannya jernih dan sejuk menyegarkan mengalir berhampiran.
Hari Kedua: Perjalanan kami bermula pada pukul 9.20 pagi. Kami menempuhi tebing sungai. Kami juga meniti batu-batu sungai untuk ke seberang. Ada ketikanya kami memecah keringat menogkah bukit curam, sebelum menuruni cerun dan menyeberang anak sungai di beberapa tempat.

Tepat pukul 11.00 pagi kami tiba di tapak perkhemahan berikutnya, iaitu Kem Kijang. Kem Kijang juga terletak bersebelahan dengan jeram. Keadaannya bertingkat-tingkat dan kecil. 20 minit kemudian kami menyeberangi jeram berhampiran dan mendaki bukit curam.
Keadaan tumbuhan mula berubah. Kami mula menempuhi hutan gunung. Tepat pukul 12.45 tengahari kami berhenti di satu kawasan curam. Terdapat air terjun kecil berhampiran. Di situlah sumber air terakhir untuk pendaki sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Korbu.
Kami berhenti untuk berehat dan makan tengahari. Kami juga memenuhkan bekas-bekas air untuk kegunaan di sepanjang perjalanan ke puncak. Menurut jurupandu jalan, punca air berikutnya masih jauh, mengambil masa hamper sehari untuk sampai. Kami seterusnya menyambung perjalanan selepas berhenti selama sejam.

Tepat pukul 2.45 petang kami tiba di Bukit Botak. Dari situ kami dapat melihat, puncak Chuban, Korbu Raya dan objektif kami untuk hari itu, puncak Gunung Korbu. 30 minit kemudian kami meneruskan pendakian. Kami terpaksa memecah keringat untuk mengatasi laluan yang curam mencanak.
Saya mengambil masa lebih dari sejam untuk tiba di puncak Chuban. Selepas berehat seketika saya meneruskan cabaran. Tepat pukul 5.50 petang, selepas menempuhi halangan terakhir iaitu puncak Korbu Raya, saya selamat tiba di puncak Gunung Korbu, puncak tertinggi di Banjaran Titiwangsa yang berketinggian 7,162 kaki.
Hari Ketiga: Kami bermula agak lewat, iaitu kira-kira pukul 9.40 pagi. Keadaan muka bumi tidak banyak berubah, kami masih menempuh hutan gunung. Spesis pokok berkayu yang mendominasi hutan gunung seperti di Banjaran Titiwangsa adalah antara lainnya Leptospermum flavescens dan Baeckea frutescens.

Pokok renek seperti Rhododendron spp dan tumbuhan parasitik periuk kera, Nepenthes spp. juga mudah ditemui. Cuaca cerah dengan langit biru juga memudahkan kami menikmati pemandangan indah Banjaran Titiwangsa. Banjaran Titiwangsa adalah banjaran terpanjang di Semenanjung Malaysia.
Saya banyak berhenti di pertengahan jalan untuk menghayati pemandangan biru hijau yang sungguh indah. Saya juga banyak merakam gambar melalui lensa kamera. Tepat pukul 12.00 tengahari, saya tiba di puncak Gunung Gayong. Perjalanannya melebihi 2 jam walaupun ianya kelihatan begitu hampir dengan Gunung Korbu.
Gunung Gayong yang berketinggian 7,129 kaki, merupakan puncak G-7 terakhir yang berjaya saya daki. Puncak-puncak lain termasuklah Korbu, Yong Yap, Yong Belar, Chamah dan Ulu Sepat. Di kalangan pendaki tegar, G-7 adalah puncak-puncak di Banjaran Titiwangsa yang mempunyai ketinggian melebehi 7,000 kaki.

Kami tidak berhenti lama di puncak Gayong. Kami terus meninggalkan kawasan puncak selepas bergambar kenangan. Perjalanan yang harus ditempuhi masih jauh. Kami tiba di destinasi berikutnya, iaitu Kem Cerek, tepat pukul 1.20 petang. Kami berhenti berehat dan makan tengahari di situ.
Kami menyambung perjalanan pukul 2.10 petang. Perjalanan melalui hutan lumut sememangnya sukar. Kadang-kala laluan berselirat dengan dahan dan akar pokok. Pokok-pokok berkayu juga ada yang tumbuh hampir-hampir menutupi laluan dan menyebabkan pergerakan kami tersekat-sekat.

Adakalanya kami harus merangkak dan meniarap di bawah akar dan dahan pokok. Kami juga harus berpaut pada dahan pokok-pokok kerdil yang sentiasa basah. Keadaan laluan tanah gambut berwarna coklat gelap yang kaya dengan bahan organan dari tumbuhan mati tetap lecak dan licin.
Kami kemudiannya terus menerus menuruni laluan yang cukup curam. Pokok-pokok tumbang kerap merentangi laluan. Perjalanan hari ini dirasakan begitu panjang. Kami berhenti sekejap-sekejap di pertengahan jalan untuk berhenti rehat. Namun perjalanan dirasakan tanpa penghujungnya, begitu sukar dan memenatkan.
Semakin jauh kami turun, semakin berubah keadaan flora yang ditempuh. Kami mula memasuki kawasan hutan Dipterokarpa tanah tinggi. Kami juga terpaksa menuruni tebing-tebing batu yang cukup curam dan licin. Hari beransur-ansur gelap ketika kami menyeberang berhampiran kawasan air terjun.

Tepat pukul 7.45 malam, dengan trek disinari lampu suluh, kami selamat tiba di Kem H2O. Pengembaraan untuk hari ketiga tamat sudah. Tibalah masanya untuk berehat sementara menunggu hari esok. Hari esok masih ada untuk meneruskan pengambaraan yang cukup mencabar itu.
Hari Keempat: Kem H2O adalah sebuah tapak perkhemahan bersebelahan jeram yang airnya mengalir jernih. Kawasannya agak rata dan boleh memuatkan kira-kira 20 pendaki pada satu-satu masa. Kami meninggalkan tapak perkhemahan itu hampir pukul 11.00 pagi, untuk meneruskan cabaran pada hari keempat.
Laluan yang kami tempuhi hanya mudah di peringkat awal. Semakin dekat dengan puncak Anak Yong Belar, semakin mencabar laluan yang ditempuhi. Balak tumbang, bukit mencanak dan trek licin adalah di antara gabungan alam semulajadi yang benar-benar menguji mental dan fizikal.

Kami berhenti rehat di puncak Anak Yong Belar tepat pada pukul 1.00 tengahari. Tidak sampai beberapa minit tiba, tiupan angin menjadikan kami menggigil kesejukan. Rakan-rakan mengeluarkan dapur gas dan menyediakan makanan segera sebagai pelapik perut dan pemanas badan.
Hujan renyai kemudiannya turun dan kami terus mengatur langkah menyambung perjalanan. Selepas agak lama berjalan, hujan pun reda disertai dengan kabus tebal menutupi pemandangan. Kami seolah-olah berada di alam fantasi, berjalan dalam hutan lumut hijau yang diselimuti kabus putih.
Kami terus mendaki dan mendaki. Akar dan dahan pokok menjadi tempat kami berpijak dan berpaut. Di satu tempat, cabarannya amat hebat. Tebing yang kami daki hampir-hampir 90o kecuramannya. Akhirnya, setelah sekian lama berjalan, kami tiba di satu lagi tapak perkhemahan, iaitu Kem Kuali yang terletak berhampiran air terjun.

Kami hanya berhenti sekejap dan meneruskan pendakian pada pukul 4.45 petang. Untuk 45 minit berikutnya, saya rasakan laluan inilah yang paling mencabar sekali. Kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki terpaksa bekerja keras. Memanjat, meniti dan kadang kala tergelonsor oleh laluan tanah gambut licin dan mencomotkan.
Tepat pukul 5.30 petang, saya berjaya juga tiba di gunung terakhir untuk pengembaraan Trans Titiwangsa itu, iaitu Gunung Yong Belar. Puncak ketiga tertinggi di Semenanjung ini kelihatan begitu sepi. Hanya kabus putih yang kelihatan disertai dengan tiupan angin yang menggigilkan badan.
Pukul 7.45, selepas berjalan turun selama 45 minit dari puncak Yong Belar, kami tiba di Kem Kasut. Tapak perkhemahan ini agak luas tetapi lecak. Hujan renyai-renyai turun sebaik sahaja kami selesai mendirikan tarpaulin. Cuaca masih lagi berkabus dengan kesejukan mencengkam tubuh.
Hari Kelima: Pukul 10.00 pagi, kami meneruskan cabaran di hari terakhir. Dua jam kemudian, selepas menuruni cerun curam ke anak sungai dan mendaki bukit mencanak, kami tiba di Kem Tudung Periuk. Kami berhenti berehat sambil makan-makan dan minum.

Pukul 12.30 tengahari kami meneruskan perjalanan, mendaki bukit dan menuruni cerun curam silih berganti. Akhirnya tepat pukul 2.30 petang, kami tiba di jeram cetek yang airnya mengalir deras dan jernih. Kami kemudiannya menikmati makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan yang hampir tiba ke penghujungnya.
45 minit selepas meredah jeram yang sungguh sejuk, meniti paip polycarbonate yang licin, lencun ditimpa hujan, kami akhirnya tiba di garisan penamat. Alhamdulillah, kami berjaya tiba dengan selamat di Blue Valley, Cameron Highland. Lengkap sudah satu perjuangan yang memerlukan sejuta pengorbanan.
Kami bersalam-salaman dan mengucapkan tahniah sesama kami. Seterusnya menaiki 2 buah kenderaan pacuan empat roda ke Tanah Rata. Sudah tiba masanya untuk bermewah dengan mandi air panas dan menikmati makanan lazat, hadiah-hadiah yang sangat berharga setelah menempuh hari-hari di luar dunia yang bertamadun.

Walaupun pengembaraan ini telah tamat, namun kenangannya tetap abadi dalam kenangan. Terpancar kegirangan di wajah masing-masing, kegirangan oleh kemenangan setelah berjaya mengatasi setiap cabaran. Semoga tidur kami dibuai dengan mimpi-mimpi indah, malam ini.