Perjalanan yang kami tempuhi di sepanjang laluan dari Kuala Juram selama 2 hari itu tetap sukar. Kami telah menuruni cerun curam, mengharungi sejuk air sungai dan mendaki bukit mencanak. Akhirnya, pukul 8.15 malam, baki pendaki terakhir termasuk saya sendiri selamat tiba di puncak Gunung Tahan (2,187 meter), puncak tertinggi di Semenanjung. Saya berasa sungguh gembira dan bersyukur kepada Allah kerana memberikan kekuatan untuk turut serta dalam pengembaraan penuh cabaran ini. Kali terakhir saya datang adalah 5 tahun lepas dan ini merupakan kunjungan kali keempat.
Rakan-rakan yang tiba lebih awal sibuk menyediakan pelbagai juadah untuk makan malam. Langit yang tadinya dihiasi bintang-bintang bergemerlapan kini bertukar wajah kepada hitam pekat. Kilat sabung-menyabung diikuti dengan angin bertiup kencang. Tak lama kemudian, hujan turun membasahi bumi. Kelam kabut kami dibuatnya. Sambil makan, kami berbuat apa saja untuk mengelakkan diri dari tempias hujan.
Keesokan harinya, cuaca cerah dengan langit biru menyambut kami di hari yang baru. Kami berkumpul di mercu tanda puncak Gunung Tahan selepas mengemaskan peralatan dan bersarapan pagi. Kami mengambil gambar kenangan kumpulan sambil menikmati pemandangan puncak yang indah gemilang. Jam 10.15 pagi, kami mula mengorak langkah, memulakan cabaran menuruni puncak tertinggi Semenanjung melalui laluan Kuala Tahan, yang dijangka mengambil masa 4 hari.
Laluan Kuala Tahan merupakan laluan asal yang digunakan untuk turun naik puncak tertinggi Semenanjung. Gunung Tahan ditakluki buat kali pertamanya pada 1905 oleh Bulang, Che Nik, Mat Aris dan Mu’min pada zaman kolonial British. Kami berjalan menyusuri denai bertanah liat dan berbatu kasar. Lopak-lopak yang bertakung air hujan mencantikkan lagi landskap natural anugerah Tuhan. Lapisan nipis tanah gambut pula memberikan warna keperangan kepada air yang bertakung.
Pokok-pokok bonsai dari spesis Leptospermum flavescens dan Baeckea frutescens mendominasi landskap unik ini. Begitu juga dengan pokok periok kera Nepenthes sanguinea. Kepelbagaian spesisnya mungkin tidak seberapa tetapi ia sudah cukup untuk menjadi santapan mata tatkala berjalan turun naik dataran tanah tinggi Banjaran Tahan. Kami kemudiannya berhenti berehat berhampiran Bukit Berapit selepas menempuh perjalanan tanpa henti selama 2 jam.
Bukit Berapit mengingatkan saya ketika pertama kali mencuba nasib mendaki Tahan hampir 10 tahun yang lalu. Kumpulan saya ketika itu bermalam di Kem Padang, sebuah tapak perkhemahan yang terletak kira-kira setengah hari perjalanan turun dari Bukit Berapit. Namun demikian, hanya segelintir kumpulan pendaki berbuat demikian dewasa ini kerana kedudukannya yang jauh dari laluan utama Kuala Tahan-Puncak Gunung Tahan.
Pandangan saya kemudiannya tertumpu pada jambak-jambak bunga orkid berwarna kuning terang. Di sebalik persekitaran ekstrem yang siangnya bersuhu tinggi tanpa naungan, yang suhu malamnya boleh mencecah bawah 10oC, masih ada tumbuhan yang mampu menghasilkan bunga yang begitu cantik. Orkid yang dimaksudkan itu adalah Spathoglottis aurea Lindl., yang hidup di elevasi 1,000 meter hingga 2,000 meter. Ia juga boleh ditemui di kepulauan Sumatera dan Jawa di Indonesia.
Agak lama juga kami berhenti berehat sambil menikmati makanan dan minuman panas. Suasana di kalangan kami pendaki, masih lagi ceria, walaupun kami dicengkam keletihan pada hari ketiga pengembaraan. Pukul 2.00 petang, kami menyambung semula perjalanan yang masih jauh.
Kami mendaki bukit di landskap yang tidak banyak berubah karakter fizikalnya. Sejam selepas meninggalkan Bukit Berapit, kami tiba di puncak Gunung Gedung (2,055 meter). Kepada pendaki tegar seperti saya, puncak ini begitu sinonim dengan serpihan pesawat terbang yang jatuh terhempas beberapa dekad yang lalu.
Kami juga menempuh kawasan yang sifat geografinya berubah-ubah, sekejap hampir-hampir gondol dan ada ketikanya, kami berjalan bernaungkan pokok-pokok berketinggian sederhana. Di bawah naungan pepohon tersebut juga, tumbuh subur lumut hijau pucat, Sphagnum sp., yang tidak memerlukan tanah untuk hidup, yang tumbuh menyelimuti apa sahaja, termasuk permukaan pokok-pokok dan batu-batan. Pokok periok kera, Nepenthes macfarlanei, juga mudah ditemui di situ.
Laluan yang kami tempuhi kemudiannya terhenti di tebing curam yang dalam. Sebuah tangga aluminum sedia menunggu. Dahulu, pendaki terpaksa menuruni cerun curam dengan bertali. Itulah satu-satunya cara yang ada, yang boleh mengundang bahaya. Pengalaman turun dengan bergayut pada tali sambil menggalas beg berat menghampiri 20 kg itu masih jelas dalam memori. Jadi, penggunaan tangga aluminum membuatkan perjalanan jauh lebih mudah dan selamat.
Kami terpaksa berhati-hati menuruni cerun curam berbatu licin sebaik sahaja tiba di anak tangga terakhir. Perjalanan yang berikutnya adalah menuruni cerun curam dan menempuh bukit mencanak, yang silih berganti. Hanya sedikit kawasan rata yang kami tempuhi.
Setelah berjalan berjam lamanya, kami berhadapan sekali lagi dengan tangga aluminum. Kali ini, Gunung Reskit menjadi halangan yang perlu ditempuh. Hujan renyai-renyai turun membasahi bumi tatkala kami duduk berehat di puncak guung itu. Suhu rendah tanah tinggi dengan angin yang bertiup perlahan menyebabkan kami menggigil kesejukan. Pukul 5.15 petang, kami bingkas bangun dan meninggalkan puncak yang berketinggian 1,279 meter itu.
Sejam selepas menempuh permatang, kami tiba pula di puncak Tangga 15 yang berketinggian 1,656 meter. Kabus menyelimuti pandangan dan hujan renyai-renyai terus turun. Kami terus berjalan, menempuh beberapa kawasan curam yang dipasang tali. Kami menuruni cerun curam dan licin dengan berhati-hati sambil menggalas beg yang dirasakan berat sekali.
Pukul 6.30 petang, kami tiba di puncak Gunung Pangkin. Kami melewati kawasan itu tanpa henti kerana hari makin remang. Kami terus berjalan sebelum berhenti di sebuah tapak perkhemahan yang agak sempit. Kami memasang lampu suluh di kepala, hari yang tadinya cerah kini beransur-ansur menjadi gelap.
Laluan yang kami tempuhi tetap curam, licin dan becak. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sukarnya berhadapan dengan tebing batu, tanah gambut yang licin dan lopak di sepanjang laluan yang digenangi air hujan. Tubuh kami telah lama lencun dan kami kerap menggigil kesejukan. Akhirnya, pada pukul 7.45, kami menarik nafas lega kerana pengembaraan hari ini tamat juga akhirnya dengan sampainya kami di destinasi berikutnya, iaitu Kem Pangkin.
Keesokan paginya, iaitu pada hari keempat, kami disambut dengan hari baru yang dingin dan cerah. Kami berkongsi tapak perkhemahan yang penuh sesak dengan kumpulan pendaki dari Syarikat Telekom Malaysia. Hanya 2 kumpulan, termasuk kami sendiri, yang meneruskan cabaran turun ke Kuala Tahan. Baki kumpulan lain yang bersama kami sebelum ini di puncak Gunung Tahan 2 hari lepas berpatah balik mengikuti laluan turun yang lebih pendek, ke Merapoh.
Pukul 9.00 pagi, pengembaraan kami bermula. 30 minit kemudian, kami singgah sebentar di Kem Wrays. Saya pernah bermalam di tapak perkhemahan itu pada kunjungan kali kedua, iaitu pada 1999.
Kami seterusnya menyambung perjalanan. Kami beransur-ansur menempuh hutan Dipterokap, yang sinonim dengan pokok-pokok balak yang menjulang puluhan meter ke langit. Laluan yang kami tempuhi tidak kurang hebatnya seperti semalam, sangat curam dan memerlukan konsentrasi untuk ditempuhi. Di beberapa tempat yang curam itu, pihak pengurusan Taman Negara, telah menyediakan tali nailon untuk kemudahan pendaki.
Pukul 1.00 tengahari, selepas menempuh perjalanan 3 jam dari tapak perkhemahan di Pangkin, kami tiba di Sungai Teku. Saya pernah berkhemah di situ ketika turun buat pertama kalinya dari Gunung Tahan pada 1997. Tetapi pada hari ini, kami hanya singgah di situ sebelum meneruskan perjalanan hingga tempat perkhemahan di Kem Putih.
Ada rakan-rakan yang menyediakan makanan dan minuman panas. Tidak kurang juga yang bermandi-manda dan mencuci pakaian dan kasut yang dicomoti selut hitam tanah gambut. Saya hanya duduk berihat sambil menikmati makanan ringan dan teh-o panas.
Seterusnya, pukul 2.45 petang, kami mengorak langkah mendaki bukit mencanak sebelum turun ke tebing sungai. Kami mengharungi sejuk sungai yang kedalamannya mencecah paras paha. Kemudian, kami berjalan pula di tebing sungai. Selama sejam berjalan, keadaan laluan yang kami tempuhi berubah-ubah. Sekejap mendaki bukit dan sekejap menuruni cerun curam. Kemudian, kami mengikuti semula laluan berhampiran sungai, yang banyak dihalangi oleh semak-samun, pokok tumbang dan batu-batu licin.
Kami kemudiannya menyeberangi sungai sebanyak 3 kali. Paras air di sesetengah tempat mencecah dada. Arus deras dengan batu-batu licin di dasar sungai amat menyukarkan pergerakan dan kami yang keletihan hampir-hampir sahaja tewas dihanyutkan arus deras. Walaupun begitu, semangat setiakawan dan tindakan pantas rakan-rakan menghalang ekspedisi ini dari berakhir dengan tragedi.
Namun demikian, keadaan jadi kelam-kabut ketika kami membuat percubaan untuk menyeberang pada kali keempat. Sebaik sahaja saya dan 4 rakan lain berjaya ke seberang, paras air sungai tiba-tiba naik. Jurupandu jalan menjerit meminta kami cepat-cepat meninggalkan sungai dan menuju ke kawasan yang lebih tinggi. Baki 7 rakan lain termasuk jurupandu sendiri jalan gagal ke seberang. Buat pertama kalinya di sepanjang ekspedisi, kami terpaksa membawa haluan masing-masing dan bermalam di tempat yang berbeza. Kami, yang seramai 12 pendaki, terpisah oleh sungai yang berarus ganas.
Keesokan paginya, barulah rakan-rakan yang terkandas berjaya menyeberang dan menyertai kami semula. Kami kemudiannya bersama-sama meneruskan perjalanan dan melintas sungai di 3 lokasi berlainan sebelum tiba di Kem Putih untuk berhenti rehat dan makan tengahari.
Kami menyambung perjalanan pada pukul 1.15 tengahari dan tiba di puncak Gunung Rajah, yang sinonim dengan pokok resam, hampir 2 jam kemudian. Perjalanan berikutnya adalah melalui laluan yang banyak menurun dan pada pukul 4.15 petang pula, kami tiba di Kem Tengah. Kami berhenti rehat dan menunaikan solat di kem tersebut.
Menjelang 5 petang, kami meneruskan perjalanan. Kami banyak turun dari naik dan di sesetengah tempat yang kami turuni, trek amat curam dan licin. Angin kencang melanda kemudiannya diikuti hujan turun tanpa henti. Kami kemudiannya tiba di Kem Melantai pada pukul 8.30 malam dalam keadaan keletihan, menggigil kesejukan dan menahan kelaparan.
Pukul 11.00 pagi keesokan harinya, kami mula mengorak langkah, mendaki bukit mencanak meninggalkan Kem Melantai. Hampir 2 jam kemudian, kami tiba di persimpangan kilometer 5.5. Kami menempuh laluan lecak yang kedapatan najis gajah dan tanah yang digemburkan oleh babi hutan yang mencari makan. Pacat juga bermaharaja-lela. Haiwan tersebut berbuat apa sahaja untuk menghisap darah mangsa yang melewati denai dalam hutan yang paling tua di dunia, yang telah menjangkau usia 130 juta tahun.
Tepat pukul 2.30 petang, dengan tibanya kami di Taman Negara Resort, pengembaraan yang cukup mencabar ini tiba di penghujungnya. Kami bersorak keriangan, memecah ketenangan di taman Negara seluas 4,343 kilometer persegi itu. Taman yang dibuka pada 1938 itu kini lebih ceria dengan ketibaan sekumpulan pendaki yang terpaksa berjuang dengan cerun curam, bukit mencanak, lencun air hujan dan aliran sungai yang mengganas, yang hampir sahaja melayangkan nyawa. Dan kini, kepahitan itu menjadi kemanisan yang tidak mungkin padam dalam diari kehidupan seorang insan yang dipanggil pendaki. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.








